How To Be Popular

Petang tadi, aku melayari satu blog.  Tajuknya, ‘ How To Be Popular’.  Emm, memang menarik.  Bagaimanakah rasanya menjadi orang popular ya?

Sedang aku asyik menelaah cara-cara dan kaedah untuk popular, datang Si Paus Pengacau tu entah dari planet mana. 

Datang-datang je, terus dia sergah aku dari belakang.  Siapa tak terkejut? Badak pun boleh pengsan dengar suara dia yang garau semacam tu.  Nasib baik aku yang hebat ni masih dapat mengekalkan ciri-ciri gadis Melayu sejati.  Jadi, tak adalah sampai aku nak terkejut dan melatah macam kera kena belacan.

“Woi, kau nak jadi  popular pulak ke! Hwa..ha..ha..ha..  gelinya hati aku.  Geli lagilah hati kambing kalau diketahuinya kau ada hati nak popular,” ejek abangku sambil gelak dan menekan-nekan perutnya.  Kononnya kelakarlah sangat.  Ee.. geramnya aku.  Kalaulah aku ada ‘magic wand’, aku dah sangkutkan dia di atas pokok durian.  Haha..tentu menarik kalau dapat tengok ikan paus tersangkut di atas pokok.  Lepas tu, kepala dia kena patuk-patuk oleh burung gagak.   Pasti menjadi satu pemandangan yang menakjubkan.

“Engkau nak buat apalah popular, Linda oii?  Tak ada faedahnya.  Orang yang popular ni sebenarnya hidup mereka tidak tenang dan tidak bahagia sangat.  Mereka juga tak ada privacy, faham?” Sambung  Si Paus lagi.  
Siapalah yang meminta pandangan dan pendapat dia?  Memang penyibuk.

Bagaimanapun, aku diam sahaja dengan harapan dia akan bosan dan meninggalkan aku dalam ketenangan.  Malangnya, dia terus membebel dan membebel dan membebel…

 “Oh, abang tahu sekarang!  Tentu kau sedang meminati seseorang.  Malangnya orang itu tidak sedar langsung akan kewujudankau sebab engkau tidak popular macam abang ni, betul?  Jadi, sekarang kau sedang berusaha untuk menarik perhatian dia dengan menjadi popular, betul?” Si Paus terus membuat andaiannya yang merapu.

“Hey, diamlah penyibuk!  Pergi dari sini.  Aku tak perlukan nasihatkau, faham?” jeritku di dalam hati.

 “Ah, jangan susah hatilah!  Nak popular bukan susah pun.  Pertama, kau perlu jaga bau badan.  Jangan sampai busuk macam kambing.  Kedua, gosok gigi kau tu sampai putih bersinar-sinar.  Pastikan tak ada cili pada gigi kau.  Lepas tu senyum, senyum dan senyum.  Kalau orang yang kau minat tu buat lawak sikit, kau gelak bersungguh-sungguh,  macamlah lawak dia tu kelakarnya sampai setaraf lawak Mr Bean, faham?”  sambung Si Paus lagi.

“Aku kata diam, diam lah Si Paus.  Pergi dari sini.  Aku tidak memerlukan nasihat kau pun.  Pergi! Pergi!  Pergi!,” jeritku dengan lebih kuat.  Namun masih di dalam hati kerana aku masih dapat bersabar.

“Tips yang seterusnya, gunakan kuasa mata.  Kalau budak yang kau minat tu pandang mata kau, kau pandang mata dia balik.  Jangan malu-malu kucing.  Kau renung mata dia sampai dia menyesal  main-main mata dengan kau.  Tentu dia jatuh hati pada kau sebab menyangka kau ni seorang yang berani, faham tak?”  Abangku terus memekak di telinga aku.  Aku hampir hilang sabar.

“Aku kata diam, diamlah Paus!” Jeritku semakin kuat.  Kali ini, di dalam hati juga.

“Lagi satu, jangan sekali-kali angkuh kalau kau nak orang suka.  Selain itu, berkawan dengan semua orang.  Jangan asyik-asyik dengan kawan baik kau Si Sally tu.”

“Lagi satu, jangan jadi ulat buku je, sekali-sekala, 'get out there and get involved'!  Jadi ulat daun ke, ulat buah ke atau ulat tahi ke..ha..ha..ha.. lagi satu, do what you love.  Gembira selalu.  Orang suka kalau kita sentiasa gembira bukan stress tak tentu fasal.”

“Akhir sekali, kalau kau tak popular juga, jangan risau sangat sebab semakin kau risau, semakin kau tak popular.  Lagi satu, kau akan lebih cepat popular kalau jadi penyibuk sikit, ambil tahu hal kawan-kawan kau yang gedik tu, tunjuk simpati di sana-sini dan  ringan tulang sikit, faham tak cakap abang ni?” Si Paus tu meneruskan ceramahnya tentang cara-cara untuk popular.  Macamlah aku nak dengar sangat nasihat percumanya tu.
 
‘’Sekarang, kau praktikkan dulu tips yang abang cakap tadi.  Kalau kau masih tak popular, datang jumpa abang.  Bayar RM10, abang akan ajar kau tips yang lebih berkesan?  Masa tu engkau akan popular macam abang yang kacak lagi digilai ramai ni..ha..ha..,” sambung Si Paus tu macam tak tahu bila hendak berhenti bercakap.

Kali ini, aku benar-benar hilang sabar.  Aku pandang mata dia tepat-tepat, lalu aku jerit, “DIAM!  DIAM!  DIAM!”  jeritanku kali ini adalah yang paling kuat.   Dan jeritan kali ini adalah di dalam hati juga.

Oh, Tuhan.. kalau diikutkan hatiku yang pedih ini, aku hendak menjerit kuat-kuat di telinga dia.

Biar dia faham, yang dia mengganggu kedamaian.
Biar dia faham, yang aku sangat bengang.
Biar dia faham, yang dia bukanlah abang yang terbilang.
Biar dia faham, yang dia tak layak perasaan.
Biar dia faham, yang dia membosankan.
Biar dia faham, yang habitat ikan paus adalah di dalam lautan.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Langkah-langkah memelihara kebersihan sungai