Aku ingin menjadi penulis
23 September 2013
Tadi, selepas rehat ialah mata
pelajaran Bahasa Malaysia. Cikgu Hasymah ialah cikgu Bahasa Malaysia kami. Beliau
ni kadang-kadang baik, kadang-kadang
melampau. Beri tugasan punyalah banyak
sampai tak masuk akal.
Salin 10 buah karangan!
Sesiapa yang tak suka berdiri sambil junjung
kerusi,
sila hantar tugasan anda esok.
Sekian, terima kasih.
|
Apa-apa pun, hari ini beliau
telah membuka mataku.
Nak tahu apa? Hari ini, beliau bercakap tentang mudahnya
menjadi seorang penulis. Walau siapapun
kita, walau apa pun jawatan kita, kita semua mempunyai potensi untuk menjadi
seorang penulis.
Tulislah sesuatu yang kita tahu
atau pakar tentangnya. Contohnya,
perdana menteri boleh sahaja menulis tentang cara-cara memajukan negara.
Tukang masak boleh menulis tentang
resipi dan petua. Murid-murid pula
bolehlah menulis cerpen atau novel.
(Guru-guru pula? Maaf, beliau tak sebut).
Penjelasannya yang panjang lebar lagi berkobar-kobar itu
disudahi dengan ayat ini,
“Ingatlah, jika kamu dapat
bercakap, pasti kamu dapat menulis!”
Jadi, mulai hari ini, beliau mahu kami berusaha untuk menjadi seorang
penulis. Katanya, ini kerja yang
hebat. Buat kerja sekali, untungnya
berkali-kali. Setelah meninggal dunia
pun, masih boleh dapat duit. Tapi duit
tu anak cucu kitalah yang ambil, takkan kita pula.
Selain itu, kita juga berpeluang
untuk kaya dan terkenal macam Enid Blyton, Jeff Kinney atau Geronimo Stilton.
Bab kaya ni aku paling suka. Maka, tak semena-mena, berkobar-kobar dan membara-baralah
semangat aku untuk menjadi seorang penulis yang kaya lagi bergaya. Terkemuka serta banyak idea. Ditambah pula aku masih muda remaja dan cantik jelita. (Ehem..ehem.. bukan angkat
bakul tapi tanda bersyukur hi..hi..)
Sedang aku berangan-angan untuk
menjadi seorang penulis, kawan sebelahku, Robhim bertanya,
“Cikgu, setakat ini, sudah berapa
buah bukukah yang cikgu tulis? Saya nak pergi beli ni.”
“Belum. Saya tak ada masa. Mana nak buat nota, tanda latihan kamu, pergi
kursus dan macam-macam lagi.”
“Nanti, apabila ada masa, saya
pasti akan tulis sebuah buku yang hebat..” jawab Cikgu Hasymah dengan muka yang
kemerah-merahan dan dibuat-buat serius.
“Ha..ha.. cakap
berkobar-kobar. Rupa-rupanya, sebuah
buku pun dia belum tulis. Inilah contoh kepimpinan
tidak melalui teladan. Cakap tak serupa
bikin,” bisik Robhim kepada rakan sebelahnya sambil ketawa mengejek.
Eh..nasib baiklah Cikgu Hasymah
tak dengar. Celupar sungguh mulut budak
tu. Tak hormat cikgu langsung. Spesies apa entah? Nak je aku sumbat selipar dalam mulut
dia.
Apa-apa pun, aku sangat suka lagi
percaya dengan kata-kata keramat cikgu tadi iaitu,
JIKA KITA DAPAT BERCAKAP, KITA
PASTI DAPAT MENULIS!
Membawa maksud, aku juga mampu menjadi
seorang penulis.
Aku akan buktikan..
Mulai hari ini, aku akan mula menulis..
Ya, aku akan menulis setiap pengalamanku
di dalam diari comelku ini....
Ulasan
Catat Ulasan