Cerita- Budi rakan

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh kubayar,
Hutang budi kubawa ke mati.

Berdasarkan maksud pantun di atas, tuliskan cerita yang berkait dengan budi atau jasa seseorang kepada kamu.

 Namaku Nur Badariah Binti Badaruddin.  Namun, fizikalku yang gempal dan boyot menyebabkan rakan-rakanku enggan berkawan denganku.  Malah, mereka menggelar aku Badak.  Aku sangat sedih.
Pada suatu hari, aku disapa oleh seorang murid baharu yang cantik lagi sopan.  Namanya Dafinah.  Dia bertanya namaku dan mengajak aku makan bersamanya.  Aku sangat gembira.
Sejak itu, kami berkawan baik.  Dafinah menjadi tempat aku berkongsi suka duka.  Setiap kali aku dikutuk, dia akan membelaku.  Dia sering memberi kata-kata semangat agar aku terus sabar dan tabah.
Setiap petang, Dafinah menemani aku berjoging di taman.  Dia turut menyediakan jadual diet untuk aku.  Dia juga memotivasikan aku untuk kelihatan anggun.
Usaha Dafinah membantuku tidak terhenti setakat itu.  Dia turut mengajak aku belajar bersamanya.  Akhirnya, kami sama-sama menggapai kejayaan yang cemerlang.
Kini aku ialah seorang gadis yang pintar, periang dan berkeyakinan tinggi.  Semuanya atas jasa dan budi seorang sahabat yang bernama Dafinah.  Budinya kujunjung tinggi.  Akan kukenang sehingga ke mati.


(148 patah perkataan)


Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Langkah-langkah memelihara kebersihan sungai