Cinta Monyet, Cinta Anjing


Semalam dan kelmarin aku mengikuti rombongan sekolah ke Gua Tempurung yang terletak di Perak.  Memang seronok habis.

Semua aktiviti yang dirancang amat menarik.  Yang tidak menariknya semasa di dalam bas tersebut, ada seorang budak hingusan yang buat lawak dengan menyelitkan sepucuk surat cinta ke dalam kocekku. 

Ha..ha..lucunya.

Aduhai, umur baru setahun jagung, sudah dilanda penyakit gatal-gatal dan miang-miang! 

Inilah generasi Al Bebal@Al Bahlul. Sekolah pun belum habis, sudah ada hati hendak bermain api.  Selisih malaikat empat puluh empat.  Semoga penyakit yang sejenis dengan kudis dan kayap ini tidak menjangkitiku.  Tak rela you!

Baiklah, nampaknya aku yang hebat ini terpaksalah memberi ceramah.  Ceramah berkaitan cinta.

Tuan-tuan dan puan-puan, adalah dimaklumkan bahawa bercinta di alam persekolahan memang tidak matang, tidak cool lagi tidak hebat langsung.  Malah, layak dikatakan mendatangkan aib seumpama menconteng-conteng arang di muka orang tua kita.

Maka sebab itulah orang Melayu menggelar cinta jenis ini sebagai cinta monyet.  Maksudnya, cinta yang hanya sementara.  Tetapi, bagi aku definasi yang lebih tepat bagi cinta monyet ialah cinta yang khusus untuk monyet-monyet dan yang seangkatan, sejenis dan sespesies dengannya.

Adapun, orang Korea pula memanggil cinta jenis ini sebagai cinta anjing. Anjing? Maka, janganlah kita bercinta seperti anjing.

Alkisah, tidaklah aku ketahui apakah gelaran yang diberikan oleh orang Cina terhadap cinta jenis ini.  Nanti aku tanya Lee Keng Kang.  Itu pun kalau dia tahu.

Yang hairan bin ajaibnya, ada juga budak-budak yang agak pandai dan cemerlang dalam pelajaran turut bercinta dalam zaman persekolahan.  Alasan mereka, cinta dapat menaikkan semangat untuk belajar.

Semangat?! Semangatlah sangat. Mereka belum tahu penyakit cinta ini.  Bagi aku cinta umpama dadah. Mula-mula, kita sungguh bersemangat untuk hidup demi cinta.  Kononlah.

Namun apabila putus cinta pula, mulalah hilang arah dan pedoman.  Wajah anggun jadi cengkung.  Badan ramping jadi sekeping.  Rambut pula mengerbang macam hantu dalam hutan. 

Pelajaran dah tentulah entah ke mana.  Maka, punah dan musnahlah harapan mak bapak yang tinggi menggunung untuk melihat anak mereka cemerlang lagi terbilang.

Penangan cinta punya fasal, ada yang mengalami keadaan di mana mandinya tidak basah.  Apabila tak basah, tentulah tidak bersih.  Maka, berdakilah badannya di sana sini.  Nak tengok pun naik geli.

Seterusnya, Si Pecinta yang terputus cinta tersebut mulalah makan tak lalu.  Apabila tak lalu makan, maka tidur malamnya pun tak lena dek kerana kebuluran sebab tak makan siang tadi.  Kesudahannya, muka jadi cengkung sebiji macam hantu jerangkung yang hanya dapat makan kangkung.
     
Ada pulak tu yang jenis menangis siang dan malam. Konon kekasihnya telah curang.  Harga diri pun dah melayang. Apa lagi nak dikenang? Memang muka nak kena tendang terajang.

Semoga aku dan zuriat keturunanku tidak ditakdirkan jatuh cinta di alam persekolahan.


Huh..sungguh memualkan lagi menjengkelkan..  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Langkah-langkah memelihara kebersihan sungai