Fesyen Rambut Yang Kelakar Gila
Kelas
pertama hari ini ialah subjek Sains.
Dahulu, subjek sains ialah subjek kesukaanku. Namun, sejak Cikgu Bedal menjadi guru Sains,
kecintaanku terhadap subjek itu lenyap sama sekali. Cikgu ini memang jelas
bosan dengan kerjayanya.
Bayangkan setiap kali masuk ke kelas, dia akan
menyuruh kami sama ada buat kerja sendiri kerana beliau pening kepala atau dia akan menyuruh kami berdiri lalu membaca buku teks seorang demi
seorang.
Selain itu, kami juga diperintahkan agar menyalin
gambar-gambar radas. Maka, penuhlah buku sains kami dengan gambar radas.
Aku
berharap agar cikgu yang tidak berdedikasi ini akan segera ditukarkan ke kutub
utara atau kutub selatan. Biar dia jadi
cikgu kepada penguin atau beruang polar.
Baru dia tahu langit itu tinggi atau rendah.
Selepas
80 minit, berlalulah waktu sains yang
membuatkan aku hampir mati kerana kebosanan.
Masa
ketiga ialah Bahasa Malaysia. Cikgu
Hasymah melangkah masuk dengan raut wajah yang paling serius.
Namun, keseriusan wajahnya tidak dapat menahan kami daripada terkejut badak apabila melihat fesyen rambut kerinting baharunya. Kerinting kembang semangkuk ala-ala sarang tebuan itu membuat kami
sekelas ketawa pecah perut.
Razali
dan rakan-rakannya, ketawa paling kuat sambil menepuk-nepuk meja dan menghentak-hentak
kaki. Wong Keng Kang yang sedari tadi
sedang bekerja keras menahan kencing, terus tergelak besar lalu terkencing di situ juga.
Kasihan
Cikgu Hasymah kena gelak. Aku musykil,
adakah itu cita rasa terkini cikgu Hasyimah atau dia menjadi mangsa pekerja salon yang tidak profesional.
Akibat gelak sakan tanpa perikemanusiaan, kami sekelas kena denda membersihkan air
kencing Wong Keng Kang.
Baunya, Tuhan sahaja yang tahu. Aku rasa, budak gemuk tu makan petai semalam.
Maafkan kami cikgu. Bukanlah niat di hati kami hendak menggelakkan cikgu tetapi kami berani bersumpah bahawa fesyen rambut cikgu memang kelakar gila..
Ulasan
Catat Ulasan