Kaki Gaduh Kena Debik



Hari ini , pagi-pagi lagi abangku bergaduh di sekolah.  Asal ceritanya, adalah seorang budak baru masuk ke kelas tu.  Budak baru ni dengar ceritanya memang kaki gaduh.  Baru sebulan kat sekolah ni, dia dah cari fasal dengan lima orang murid.

     Hari ini, budak yang namanya aku memang tak tahu dan tak minat nak tahu pun, cuba mengopak pintu bilik Tingkatan 4 Hijau.  Abang aku pun tegurlah dia supaya jangan tunjuk samseng dengan pintu.  Kalau nak tunjuk samseng pun biarlah dengan lawan yang sepadan.  Kesian pintu yang tak berdosa tu.

     Budak yang besar kepala dan perasan bagus tu pun segera naik angin.  Dia ambil sebatang kayu lalu memukul abang.  Abang menepis.   

     Budak tersebut perasan dia kuat sangat semata-mata berdasarkan faktor 3Gnya (iaitu gebu,gemuk dan gempal) daripada abang yang 3K (iaitu kurus, kering dan kedengkik). 

Alkisahnya, budak tersebut cuba menyepak muka abang.  Abang mengelak lagi. Kemudian, dia merempuh abang dengan badannya yang bersaiz anak badak tu.  Abang pantas mengelak.  Dia terhumban ke dinding.  

Abang yang mula naik angin, melepaskan sebiji tumbukan padunya.  Kena tepat pulak tu kat dahi samseng Kampung Hutan Melintang tu.  Terus bertelur dahinya.  Lepas tu menangis teresak-esak.  Buat malu orang gemuk je.

     Apabila dah kecoh macam tu, Guru Hal Ehwal Murid (HEM) pun segera datang.  Beliau memanggil abang dan budak kepala batu tersebut ke pejabat untuk diadili. 

Kemudian, cikgu tersebut menelefon mama agar datang ke sekolah dengan segera.

     Dengan hati yang membara, mama datang ke sekolah untuk mendengar pengaduan guru HEM tentang kelakuan abang.  

     Mula-mula guru HEM menyampaikan hujah-hujahnya yang lebih cenderung hendak menyalahkan abang.  Namun apabila abang pula diberi peluang untuk membela dirinya, mama diselubungi rasa kagum yang tak terhingga.  

     Mama terlopong mendengar abang berhujah dengan petah dan penuh semangat sekali.  macam dalam pertandingan bahas piala perdana menteri layaknya.  Hebatlah abang.

    Hai, nampaknya hari ini abangku merupakan hero yang menyelamatkan pintu bilik darjahnya.
    
    Jelas, mama lebih tertarik dengan cerita abang daripada cerita guru HEM tu.  Sebabnya cerita abang lebih original.  Cerita cikgu tu berdasarkan cerita budak-budak yang melihat kejadian tersebut.  Macamlah pandai sangat budak-budak tu membuat laporan. 

Bagaimanapun, aku tahu mama sebenarnya lebih excited mendengar cerita bagaimana abang membelasah budak yang selalu cari fasal tu.

Mama bangga kerana tak sia-sia dia menghantar abang belajar taekwondo sampai dapat 1st Dan.  Dia juga gembira kerana abang dapat mempertahankan diri sendiri sekaligus mempamerkan ciri-ciri lelaki sejati.  Bukan pondan atau pengecut yang boleh disepak terajang.

Apabila cikgu kata nak bagi abang demerit atas salah lakunya bergaduh, abang angguk sahaja.

Sebaliknya, mama berkeras supaya abang diberi merit atas keperihatinannya mempertahankan pintu bilik darjah itu daripada dikopak oleh tangan-tangan pengamal vendalisme. 

Serba salah cikgu dibuatnya.  Permintaan mama untuk memberi merit kepada pelajar yang bergaduh memanglah pelik bunyinya kerana niat tidak menghalalkan cara.

Apa-apa pun..
     Bravo Mama!
     Bravo Abang!  


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Langkah-langkah memelihara kebersihan sungai