Don't Trouble The Trouble



Alkisahnya, hari ini ialah hari akhir persekolahan untuk tahun ini.  Semua murid menunjukkan wajah yang ceria tak terkata.

Murid-murid memang ikhlas memaparkan wajah gembira kerana tak perlu ke sekolah selama sebualan setengah.

Bagaimanapun, aku tengok guru-guru berusaha keras untuk mempamerkan wajah serius kononnya tak hairan dengan cuti yang datang silih berganti.  Terjerit-jeritlah sang guru menyuruh murid-murid jangan terlalu suka kerana suka boleh membawa duka.

Maka, kawalan wajah amat penting supaya tidak nampak sangat yang guru-guru lebih teruja daripada anak-anak murid untuk pulang bercuti.

Yalah, tentulah tak logik kalau murid-murid sekadar bersorak manakala guru-guru melompat-lompat sampai ke siling setiap kali cuti panjang.

Namun, pecah juga rahsia cikgu-cikgu tersayangku semasa aku mencari cikgu Hasyimah di bilik guru.  Riuh rendah bilik guru mengalahkan bilik kelas paling belakang masa ketiadaan cikgu.  Masing-masing seronok sakan kerana akan bercuti.

Aku dengar ada guru yang nak balik ke Hutan Melintang, Perak.  Ada yang nak pulang ke Kokdiang di kedah dan ada juga yang kampungnya di Belukar Juling (sound like Blue Car Juling), serta Lebai Condong di Pahang.  

Peliknya nama-nama kampung tersebut.  Tentu kehidupan penduduk di sana juga unik.  Patutlah guru-guru lebih tak sabar daripada murid-murid nak bercuti.

Cerita fasal cuti ni juga, semacam dah jadi tradisi je di sekolah aku ni.  Kalau hari guru atau hari akhir persekolahan, akan ada spesies murid yang suka main baling-baling tepung.  Baik lelaki, baik perempuan, sama sahaja.

Lepas tu gelak-gelak tengok muka rakan yang putih macam zombi.  Kalau betul-betul jadi zombi baru tahu.

Kadang-kadang terdetik juga di hati ini untuk turut serta tetapi aku tabahkan hati sebab aku masih waras.  Keayuan, kesopanan dan kesusilaan kena jaga beb!

Bagaimanapun, hari ini abangku, Si Paus dan rakan-rakannya terlebih berani. Mereka bukan sekadar baling tepung malah maju setapak dengan membaling mercun bola di kawasan kantin.

Kebetulan, mak cik kantin yang paling garang di sekolah itu sedang mencuci longkang. Mak cik tu memang tengah naik angin kerana baru lepas kena tegur dengan guru besar akibat tidak menjaga kebersihan longkang. Dia turut membebel-bebel sambil menyalahkan murid-murid yang membuang sampah di sekeliling kantin.

Hendak dijadikan cerita, mercun bola yang dibaling oleh abangku meletup dengan kuat kira-kira sejengkal dari mak cik kantin tersebut. Hamba Allah tu pun melompat-lompat sambil melatah dek serpihan bunga api yang sesat terpercik ke dalam kainnya.

Apa nak dikata, mak cik kantin itu pun mengamuk sakan bagaikan kerbau yang naik minyak.  Dia pun mengejar abang dan rakan-rakan kacang-kacang hantunya. 

Oleh sebab tiada senjata lain yang sempat diambil, mak cik kantin tersebut hanya dapat menyembur mereka dengan air paip. 

Mahu tak mahu, suka tak suka, malu tak malu, terpaksalah budak-budak malang tu balik dalam keadaan basah kuyup.  Baru padan dengan muka. Nak sangat kenakan orang, sendiri yang tanggung padah.

Lain kali ingat, don’t trouble the trouble if you don’t want the trouble to trouble you.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Langkah-langkah memelihara kebersihan sungai