macam menyesal je..


Sebenarnya, tahun lepas abangku, Si Paus telah belajar di Pusat Tuisyen Pasti Skor.  Namun keputusan PMRnya amatlah mengecewakan. 

Bayangkan, dia hanya berjaya mendapat 1A.  Betul-betul buang duit, buang masa dan buang tenaga.

Awal tahun ini, mama mendaftarkan abangku di Pusat Tuisyen Klinik Pelajar pula.  Hasilnya, buat pertama kali dia berjaya mendapat 100 markah.  Itu pun apabila dicampur 3 subjek. (iaitu Matematik 30% + Sejarah 40% + Sains 30%)

Entah apalah yang dia belajar di sekolah dan di pusat tuisyen tu.  Mungkin dia cuma belajar cara-cara paus bernafas, atau berkomunikasi atau cara berkembang biak di dalam air.

Ayah marah-marah.  Bagaimanapun, mama yang sentiasa optimis tetap yakin bahawa abang sebenarnya pintar.  Cuma abang perlukan cara belajar yang unik lagi eksklusif jika hendak berjaya.

Apabila ayah terus merendah-rendahkan kemampuan abang dan mengata abang teruk dan malas berusaha, mama pun segera menjadi peguam bela yang sentiasa setia membela abang. 

Mama melontarkan pendapat demi pendapat dan  hujah demi hujah pembelaan yang berapi-api.

Kata mama, jangan sekali-kali cuba merendah-rendahkan anak sendiri.  Ini kerana, apa-apa yang ibu bapa kata dan fikir tentang anak-anak mereka, itu adalah satu doa.
 
Kata mama lagi, semua manusia bijak dan ada kelebihan tersendiri.  Apatah lagi abang yang dilahirkan sempurna.

Ayah diam sahaja!  Macam menyesal je..

Mama pun meneruskan hujah-hujahnya dengan mengatakan bahawa adalah sangat tidak adil jika kita mengatakan bodoh punya ikan hanya kerana ikan tidak tahu memanjat pokok.  Sama macam kita mengatakan bodoh punya monyet sebab monyet tidak dapat menyelam sehebat ikan.  

Ayah diam lagi.  Macam setuju je..

Mungkin ayah menyesal kerana merendah-rendahkan anak sendiri.
    
Melihat ayah terus terdiam, mama semakin berkorbar-kobar.  Mama terus menyambung hujahnya dengan mengatakan bahawa jika ada murid yang gagal, itu adalah disebabkan sistem pendidikan negara kita yang tempang dan pincang.

Sehubungan dengan itu, mama mengutarakan pendapatnya bahawa dia perlu mengambil langkah drastik dengan berhenti kerja bagi mendidik sendiri anak-anak.

Kata mama, dia yakin bahawa ‘mother is the best teacher in the world.’

Lebih kurang setengah jam mama berhujah, dia pun bertanyakan pandangan ayah sama ada betul atau tidak pendapatnya sebentar tadi.  

Ayah tetap diam!  Macam dah insaf je..

Mama bertanya sekali lagi.  Ayah masih berdiam..
 
Selepas itu, mama pergi dekat-dekat muka ayah.  Sekali mama tengok, ayah sedang tidur.  Nyenyak sungguh cuma tidak berdengkur seperti selalu.  Hebatnya ayahku.  Dengkurnya pun dapat dikawal mengikut situasi.

Erm..entah sejak bilalah ayah tertidur.

Kata mama, sudah terang lagi bersuluh bahawa abang belajar daripada ayah yang akan tertidur setiap kali mama berhujah (sebenarnya berleter hihi..)

Kesian mama..
Sayang mama..
Jangan ambil hati ya mama, nanti kulit cepat berkedut.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Langkah-langkah memelihara kebersihan sungai