Diari Berdarah
Hari
ini aku kena marah teruk dengan mama.
Semuanya kerana mama terdengar aku memanggil abangku ‘Paus’! Mama membebel hampir
setengah jam.
Kata mamaku, dalam apa keadaan sekalipun,
aku sebagai adik harus dan wajib menghormati abang sendiri. Bukan sebaliknya, memanggil abang dengan nama
binatang seperti ‘Paus’ atau ‘buntal’ atau ‘keli’.
Maka, kembang kempislah hidung abangku, Si Paus
itu dek kerana aku ialah seorang adik yang wajib menghormatinya.
Ah, apapun aku tetap akan memanggilnya ‘Paus’
selagi dia tidak berhenti membuli aku!
Ini kerana aku ialah insan hebat dan mempunyai harga diri yang
tinggi. Mana boleh kena buli sesuka
hati.
Bagaimanapun, aku tidak dapat
membayangkan apa yang akan terjadi seandainya Paus terbaca diariku ini. Alamat perang dunia ke-3 akan meletus.
Bagaimanapun, aku tidaklah perlu risau
sangat. Semuanya kerana aku sudah masak
benar dengan kelemahan Paus.
Pertama,
dia tidak suka subjek sejarah. Kedua,
membaca ialah hobinya yang ke-1,000,000.
Dan yang ketiga, dia akan jadi lembik macam batang keladi rebus
apabila ternampak darah!
Oleh itu, kulit diari aku perlulah ‘kalis Paus’. Maknanya, kulit diariku ini tertulis, 'Sejarah Jepun Sembelih Tawanan Perang'. Kemudian, dihiasi dengan gambar DARAH!
Aku yakin 200% dia tidak akan membuka diariku ini hatta aku letakkan
di dalam beg sekolahnya. Aku juga yakin,
dia lebih rela berenang dari lautan Pasifik sampai ke lautan Artik daripada memegang
diariku yang dipenuhi gambar DARAHHHH....
Oh,
bijaknya aku!. Aku bangga menjadi aku.
Ulasan
Catat Ulasan