Abangku macam Messi

Hari ini aku baik hati nak pergi tengok perlawanan bola sepak. Pasukan sekolah abangku, Kelab Singa Muda akan menentang pasukan Singa Tua dari Sekolah Bandar Arora.
Aku dapat tahu bahawa abangku, Paus ialah pemain terakhir yang dipilih.  Sebabnya, biasalah orang kaki bangku, macam mana nak main bola?
Namun, disebabkan salah seorang pemain asal cedera digigit anjing gila, maka dia jadilah bidan terjun.
Sebenarnya, tujuan asal aku datang semata-mata nak menggelakkan abangku.  Aku nak ketawa bergolek-golek di tepi padang tengok gaya si kaki bangku bermain bola.  
Aku dapat bayangkan bagaimana dia melompat macam katak untuk menanduk bola, berlari terkedek-kedek macam itik manakala tangannya menepis-nepis macam sotong.  Memang kelakar gila.
Aku siap bawa kamera.  Aku nak rakam detik-detik terindah dia jatuh terkangkang atau tertonggeng.  Atau masa bola kena tepat kat hidungnya. Atau gambar dia berlari kejar bola sampai terkencing-kencing.Ataupun aksi dia tercium punggung pemain lain ketika terpijak bola.  Ha..ha.. tentu lucu amat. 
Gambar-gambar tersebut akan aku jadikan perisai.  Kalau dia buli aku, aku akan muat naik gambar tu ke dalam Youtube.  Biar satu dunia tengok.
Bagaimanapun, perlawanan bola hari ini benar-benar mengejutkan aku. 
Abangku dijulang-julang?
Macamana tiba-tiba sahaja dia boleh jadi hebat?  Padahalnya, pasukan dia berlatih selama 4 hari sahaja.  Tiba-tiba, mereka dapat mengalahkan pasukan lawan dengan 9-0. 
Malah, kesemua gol adalah hasil jaringan abangku.  Oh, bangganya aku!  Kembang-kempis hidungku kerana tidak dapat menahan gelora riak yang melanda bagai badai tsunami.
Tanpa disedari, aku menjerit-jerit apabila melihat abangku merempuh sahaja pemain-pemain lain.  Aku kagum kerana larinya sepantas kilat. 
Dia menggelecek seperti Luis Suarez.Sepakannya juga tepat, kencang dan sentiasa kena pada sasaran umpama sepakan legenda bola sepak negara, Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari.
Gaya abangku membawa bola salin tak tumpah gaya Christiano Ronaldo.  Walaupun dibasahi peluh, dia tetap nampak segak dan bergaya di padang bagaikan David Beckham.  Rakan-rakanku yang lain macam terkena histeria melihat kehebatan abangku.
Sebaik abangku mendapat bola, sekelip mata sahaja dia menjaringkan gol.  Pasukan lawan tercengang-cengang, terlopong-lopong dan ternganga-ngaga.  Mereka hanya mampu mengesat air liur yang meleleh-leleh dan semakin tidak dapat dikawal.
“Woi, tengok tu! Tak ada seorang pemain pun yang dapat kawal abang kau.  Dia lincah macam Messi. Hebatnya!” Jerit kawanku, Sally sambil melompat-lompat tanpa penat sedari tadi.
“Gol! Gol! Lagi satu gol abang!” giliran aku pula terjerit terlolong hingga terlupa untuk mengawal keayuanku.
Nampaknya abangku cuba meniru gaya Barcelona FC dari Sepanyol yang tidak sesekali membenarkan lawan mereka memegang bola lebih dari lima saat.
Setengah jam berlalu, aku masih terjerit-jerit sambil terkinja-kinja dan tergedik-gedik di tepi padang tanpa henti. Aku bangga sekali. Tepuk sorak para penonton terus bergema.
“Gol!” aku menjerit sambil kakiku menyepak-nyepak angin.
“Hoi, bangunlah! Apa yang kamu tergol-gol ni?! Lepas tu sepak orang pulak, tak malu ke?  Tidur siang pun nak mengigau..” jerkah Paus sambil mengetuk kepalaku dengan buku latihannya.
“Cis, macam manalah Si Paus ni boleh muncul dalam tidur aku.  Nak jadi hero pulak tu. Meluat betul.
Kalaulah mimpi dapat dipilih seperti siaran Astro On-The-Go, jangan harap dia dapat hadir dalam mimpi-mimpiku..

Aku lebih rela memilih cerita ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Langkah-langkah memelihara kebersihan sungai