Fikir Positif
Masa balik dari sekolah tadi, aku terus membuka buku latihan
Sains. Banyak betul yang perlu
disiapkan. Bagaimanapun, aku tak kisah
kerana ini memang subjek kegemaranku.
Sedang aku asyik
menelaah, tiba-tiba abangku datang lalu mencubit lengan aku dengan kuat.
Sebaik aku nak
menjerit sakit, dia terus buat muka serius sambil bertanya,
“Sakit tak? Mengapa kita akan
berasa sakit apabila dicubit? Cuba
terangkan kepada abang, bahagian otak mana yang terangsang dan adakah nueron akan bercantum apabila kita dicubit?”
Nafsu nak marah
aku pun terbantut. Kalau tak jawab
nanti, dia akan kutuk aku tak pandai sains walhal periksa dapat straight A.
Jadi, aku pun
terangkanlah kepadanya dengan bersungguh-sungguh. Secara tak langsung, dia juga dapat mencubit
aku secara percuma hari ini.
Ah, dia memang
selalu begitu! Pura-pura tunjuk minat nak belajar tetapi sebenarnya nak buli
aku.
Apa nak dikata,
dia satu-satunya abangku. Terpaksalah
aku bersabar. Lagipun, aku terhutang budi kepadanya ( ha..ha.. sekadar berfikiran positif).
Nak tahu kenapa aku terhutang
budi kepadanya? Sebabnya ialah semasa di
dalam perut mama dahulu, segala gen licik, nakal, ganas, suka buli orang dan
perasan bagus, semua dia dah sapu.
Dengan rela hati dan tanpa
dipaksa, dia meninggalkan gen baik, sensitif dan berwawasan untuk aku.
Gen bijak, dia ambil jugalah sikit-sikit namun gen
sangat bijak lagi kreatif dan inovatif, telah ditinggalkan semuanya untuk aku juga.
Baikkan dia?
Kiranya, sejak di dalam perut
lagi dia sudah ada ciri-ciri seorang abang yang tidak mementingkan diri.
Terima kasihlah wahai abangku Si Ikan
Paus.
Ulasan
Catat Ulasan