Mesti terpelajar macam Aunty Nurmah
Hari
ini perut aku terlebih kenyang. Biasanya
aku ikut nasihat mama iaitu makan apabila lapar dan berhenti sebelum
kenyang. Barulah badan sihat dan panjang
umur.
Namun,
dek kerana mama masak nasi minyak dan ayam masak merah yang sungguh sedap, aku
terpaksalah melanggar prinsip aku sendiri.
Sekali-sekala tak mengapa kut.
Alkisahnya,
walaupun usia aku sudah menjangkau 13 tahun, inilah kali pertama mamaku memasak
nasi minyak.
Mama selalu kata, jangan suruh dia memasak kerana
dia tidak pandai memasak, sebab dia tak suka memasak kerana memasak tidak pernah
tersenarai sebagai hobinya.
Namun, semalam berlaku ‘Hari Ini Dalam
Sejarah’. Segalanya bermula apabila mama
memuji nasi minyak yang dibuat oleh emak saudaraku, Aunty Nurmah (nama
sebenar).
Aunty
Nurmah pun dengan gembiranya menerangkan cara-cara membuat nasi minyak serta
ayam masak merah dengan terperinci berserta dengan teknik, rahsia dan pantang larang semasa memasak.
Mama pun semacam dapat menyerap semangat
Aunty Nurmah yang sentiasa berkobar-kobar itu.
Balik je hari ini, terus mama membeli bahan-bahan lalu bermulalah misi
membuat nasi minyak tersedap di alam maya.
Aku tengok muka mama berseri-seri sebab
masakannya menjadi. Siap dia telefon
ayah suruh balik segera bagi menikmati nasi minyaknya.
Apabila aku memuji nasi minyak mama sedap
macam masakan di hotel lima bintang, Si Paus tu pun bertanya, bila masa aku
pergi makan nasi minyak di hotel? Mana aku tahu hotel tu ada lima bintang? Di mana hotel tu letak dia
punya bintang?
Huh,
malas betul aku nak layan spesies marin sesat tu!
Makan nasi minyak memang sedap. Yang tak sedapnya, sambil makan, aku 'terpaksa' mendengar ceramah bertajuk, ‘Pentingnya Pelajaran’ yang disampaikan oleh mama
sendiri.
Mamaku yang sangat mementingkan pelajaran
tu, sentiasa ada idea baru untuk disampaikan dan biasanya berkaitan dengan
situasi.
Contohnya, hari ini mama mengambil iktibar
daripada pengalamannya yang sudah lama belajar cara-cara membuat ayam masak
merah.
Menurut mama, sudah
bertimbun-timbun buku resipi dan majalah dia rujuk. Sudah puas bertanya ke sana sini. Namun,
masakannya tetaplah juga tidak seperti yang
dharapkan.
Jadi,
hari ini mama membuat kesimpulan bahawa untuk mempelajari sesuatu, belajarlah
daripada orang yang bijak dan terpelajar.
Orang yang
bijak dan terpelajar mestilah macam Aunty Nurmah yang ada Master’s Degree atau dalam bahasa Melayunya, Ijazah Sarjana.
Kata
mama lagi, orang kalau bijak dan terpelajar, buat apa pun akan jadi
sempurna. Apabila memasak pula,
masakannya lebih sedap. Kalau dia tanam
pokok, pokoknya akan hidup lebih subur. Kalau
dia memberi penerangan, penerangannya lebih jelas dan senang difahami. Sebab apa?
Sebab dia berilmu.
Kata mama lagi, oleh yang demikian, aku
perlu belajar bersungguh-sungguh. Ini kerana nilai kita terletak pada ilmu
pengetahuan kita.
Nampaknya inti pati ceramah mama ialah aku perlu belajar dengan bersungguh-sungguh sampai ke
tahap Ijazah Sarjana. Kalau dapat sampai
ke tahap Doktor Falsafah (PhD), tentulah lebih baik.
Panjang
lebar mamaku menerangkan pendapat dan ideologinya.
Belum
habis mama bercakap, abangku menyampuk,
“Betul
tu, orang yang ada PhD, kalau dia mencuci tandas pun, tandas yang dicucinya
akan lebih bersih dan lebih harum. Sebab
apa? Sebab dia berilmu. Betul tak mama?”
Dengan kesimpulan yang dibuat oleh Si Ikan Paus itu, mama pun terpaksalah berhenti berceramah dan berhujah sebab nampaknya kami telah ‘faham’.
Ah, macamlah tak kenal Si Paus tu!
Kura-kura tumbuh geraham,
Pura-puralah faham;
Sebenarnya nak suruh mama diam,
Sebab dia nak layan Gangnam.
Masa
mama cakap tadi pun, dia dengar lagu,’kosong’ versi Tamil melalui earphonesnya.
Kura-kura dalam perahu, macamlah aku tak tahu.
Ulasan
Catat Ulasan