Petua dan jampi serapah untuk awet muda
Petang tadi, aku pergi ke rumah kawanku, Sarina Sarani. Apa yang menarik perhatianku ialah seorang wanita
yang agak berusia namun amat anggun sekali.
Jujur, aku terkejut badak apabila Sarina Sarani
membertahuku bahawa wanita tersebut ialah neneknya. Usia beliau dalam 60 tahun atau lebih tepat
61 tahun 3 bulan 8 hari.
Apa? 61 tahun?
Aku ingat awal 40-an. macam sebaya dengan mama aku je.
Apa lagi, aku pun terus menyapa nenek Sarina Sarani
lalu mencium tangannya yang lembut bagaikan sutera China.
Sambil menayangkan wajah yang paling manis, semanis
madu lebah tiruan yang berlambak di pasaran, aku bertanyakan khabarnya. Kemudian, kami berbual-bual mesra. Mesra ada makna tu...
Aku ada misi dan visi untuk mengorek rahsia awet mudanya.
Petang itu juga aku dan
Sarina Sarani pun mengadaplah neneknya bagi tujuan menuntut ilmu (minat punya
fasal, sampai terkorban aktiviti bermain badminton petang ini).
Hasilnya? Memang
berhasil. Aku dapat mengumpul petua awet muda yang diamalkan oleh nenek Sarina
Sarani sejak seusia aku.
PETUA AWET MUDA NENEK SARINA
(a.k.a. PETUA ANGGUN
SEPANJANG HAYAT)
1. Bangun pagi, pijak embun dan minum segelas air masak
sejuk yang diselawat 3 kali (mesti minum sebelum menggosok gigi).
2. Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari
adalah wajib bukan sunat atau harus (kalau malas, terimalah akibat badan jadi
lembik, lemah dan sengal-sengal tulang di sana sini).
3. Kalau ada kulit pisang emas masak, sapu bahagian
dalamnya pada muka (nescaya kulit akan tegang).
4. Putih telur pun boleh disapu pada muka (nanti kulit
akan rasa tegang).
5. Minum jus daun lidah buaya (aloe vera) dan jus pegaga.
6. Berkumur-kumur dengan daun sirih (supaya mulut wangi
sebab tiada gunanya muka cantik tetapi mulut bau longkang).
7. Gosok gigi 3 kali sehari dan jangan lupa guna floss
(penyaki selalu bermula dari mulut yang banyak bakteria. Kalau berpenyakit, mustahillah nak cantik
kannnn?).
8. Selalu membaca ayat 4, Surah Nabi Yusuf a.s.
9. Jampi serapah ini pun diturunkan juga kepada kami.
Serapah untuk wajah cantik berseri lagi digilai.
Angin bertiup berhari-hari,
Bertiup-tiup lalu
berhenti,
Berhenti bertiup di siang
hari,
Kerana melihat wajahku ini.
Berseri-seri bagaikan
puteri,
Siapa yang duduk pastilah
berdiri,
Di kala berdiri tak mampu
berlari,
Termasuk rakyat, raja dan
menteri.
Terpegunnya di hati tidak
terperi,
Terpandang aku bagaikan
bidadari,
Tiada terbanding seluruh
negeri,
Kerana akulah yang paling
berseri.
Siapa tak kasih alamat nak
mati,
Kalau tak mati, deritalah
di hati,
Gilakan aku petang dan
pagi,
Kerana akulah ratu
duniawi.
Huh, gila punya jampi serapah. Bunyi macam ugutan pun ada, bunyi macam nak
bunuh orang pun ada juga. Menakutkan.
Memang aku berazam untuk mengamalkan semua petua
tersebut, terutamanya petua nombor 8 itu dengan tekun supaya kekal anggun.
Bagaimanapun, serapah mengarut nombor 9 itu, tidak akan sekali-kali aku amalkan. Sebabnya, pertama kerana aku lebih percaya akan
ayat al-Quran sebagai doa, rawatan dan pelindung.
Kedua, aku takut syirik pula kerana percaya kepada
kuasa jampi serapah.
Ketiga, aku nak tidur. Sambung cerita esok.
zzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz
Ulasan
Catat Ulasan