Ikan Paus Kena Rotan

     Hari ini, aku kena marah sebab menjerit.  Mama memang pantang dengar orang menjerit.  Dia kata, anak dara perlu lemah lembut, bersopan santun, perlu berperibadi mulia dan bukannya terjerit-jerit atau terpekik-pekik macam polong minta tolong.

     Macam mana aku nak bersopan santun kalau terpaksa hidup dengan Si Ikan Paus?

     Bayangkan, sedang asyik aku mengira-ngira duit di dalam tabung,  tiba-tiba, dia muncul entah dari mana lalu menolak aku dari belakang. Tabung yang aku pegang pecah terhempas.  Duit pula jatuh bertaburan di atas lantai.  Ada yang masuk ke celah-celah laci, ada yang terpelanting ke bawah katil dan ada yang tercampak ke bawah almari.

     Akibat tidak dapat mengawal kemarahan, aku pun menjerit,“Pergi ke sanalah ikan paus!  Duduk dalam laut mana pernah nampak duit!”
   
     Kebetulan pula mama mendengarnya dengan jelas sekali.  Terus mama kata aku terlalu biadap kerana masih tidak tahu menghormati abang sendiri.
  
     Memang tidak adil sama sekali.  Sepatutnya dia yang kena marah kerana mengganggu ketenangan hidupku.  Mengapa pula aku yang dituduh biadap?
  
     Hati aku bertambah sakit apabila Si Ikan Paus tu tersengeh-sengeh macam kerang terlebih busuk.  Mentang-mentanglah dia sentiasa menang.  Meluatnya aku tengok dia.
   
     Selepas ini, aku ada nama baharu untuk dia iaitu Ikan Paus Haus atau Ikan Paus Hangus atau Ikan Paus Berhingus.
   
    Aku terbongkok-bongkok mengutip duit yang jatuh sambil berusaha keras menahan    sebak di jati. Air mataku yang bergenang tunggu masa je nak menitik.  Tak semena-mena, Si Ikan Paus tu tunjuk baik nak tolong kutip duit yang bertaburan tu.
     
     Aku ingat dia ikhlas, rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Sambil kutip, dia cilok sikit lalu sumbat ke dalam kocek seluarnya.
  
     Walaupun mataku berkaca-kaca, aku nampak perbuatan tak bermaruahnya itu.  Aku suruh dia memulangkan duit tersebut.  Tanpa rasa bersalah, dia membalingkan duit itu ke arahku.  Sekeping duit syiling 50 sen terkena dahiku lalu benjol.

Kali ini aku menangis dengan sekuat-kuat hatiku.  Bukan kerana sakit di dahi sangat tetapi kerana sakit di hati.
   
     Abangku yang ingat dia pandai sangat berlakon tu, segera mengusah-usap dahiku sambil memujuk aku agar tidak menangis.
   
     “Maafkan abang ya, abang tak sengaja.  Tapi kamu hebatkan?  Orang hebat tidak menangis macam budak kecilkan?”
  
     Cis, aku tidak peduli lalu menangis dengan lebih kuat!  Aku harap mama naik dan saksikan sendiri bagaimana aku dibuli sampai benjol.

     Apabila mama datang dan nampak keadaan dahiku, dia terus merotan Si Paus.
   
     Baru puas hati aku.  Walau dahiku penuh dengan benjol sekalipun, aku tetap rasa berbaloi kerana dapat menyebabkan paus kena rotan.

     Rasakan nikmat sebatan mama yang susah nak dapat tetapi peritnya amat...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Langkah-langkah memelihara kebersihan sungai